Feb 1, 2013

DIASPORA?


Diaspora merupakan istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada penduduk, kaum atau etnik yang terpaksa atau terdorong untuk meninggalkan negara asal mereka dan menetap di pelbagai negara di seluruh dunia atas sebab tertentu. Isu diaspora merupakan isu global yang sering menjadi topik perbincangan dan kajian para sarjana dan tokoh-tokoh pemikir masa kini. Faktor seperti kolonialisme, imperialisme, ekonomi dan agama adalah antara beberapa faktor yang menyumbang kepada kewujudan kelompok dispora ini. Penyebaran kelompok diaspora di seluruh pelosok dunia telah memunculkan beragam perkembangan kesan daripada aktiviti mereka sehingga melahirkan kebudayaan atau peradaban baru.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diaspora bermaksud penyebaran ke merata-rata tempat. Ia merujuk kepada individu atau kelompok manusia yang pada asalnya tergolong dalam budaya yang sama telah tersebar di merata-rata tempat lain. Pada mulanya istilah diaspora digunakan secara kolektif kepada bangsa Yahudi yang bertaburan di pelbagai pelosok dunia selepas penawanan kota Babylon oleh Raja Nebuchadnezzar II. Namun kini telah diperluaskan penggunaannya termasuk kepada mana-mana kumpulan imigran yang semakin ramai di seluruh dunia (John Scott & Gordon Marshall 2005).

Diaspora melibatkan pergerakan masyarakat yang berlaku sejak dahulu lagi dalam sejarah perkembangan manusia iaitu semasa manusia melakukan aktiviti memburu dan mengumpul hinggalah kepada kegiatan berpindah randah. Kejadian-kejadian seperti bencana alam, peperangan, penguasaan wilayah oleh komuniti-komuniti lain ke atas komuniti lain serta perubahan cuaca adalah antara beberapa faktor yang menyebabkan orang berpindah-randah. Fenomena ini juga dipanggil sebagai migrasi. Pada awalnya diaspora ini berlaku adalah kerana terpaksa seperti yang terjadi pada kaum Yahudi yang dihalau dari Timur Tengah, perdagangan hamba Afrika Trans-Atlantik dan individu yang menjadi buangan politik. Namun, sejajar dengan perkembangan semasa,  diaspora bukan lagi kerana terpaksa tetapi atas sebab-sebab tertentu seperti keinginan untuk menetap di negara empat musim atau mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik hingga menarik minat kelompok diaspora ini untuk keluar daripada negara asal mereka.

            Dari perspektif antropologi dan sosiologi, konsep diaspora tidak hanya pada penyebaran identiti kelompok etnik atau bangsa malah merangkumi cara hidup, budaya, agama dan bahasa sesuatu mereka. Seseorang individu atau kelompok diaspora itu akan mengamalkan budaya dan cara hidup mereka yang di bawa dari tempat asal (homeland) serta cuba mengekalkan hingga ke generasi mereka yang seterusnya. Sebagai contoh, komuniti Cina di Malaysia merupakan kelompok diaspora daripada Tanah Besar China yang masih mempunyai identiti etnik Cina serta mengamalkan budaya dan bahasa asal mereka. Begitu juga dengan kaum India yang mana mereka juga merupakan kelompok diaspora yang datang dari India yang masih mengamalkan cara hidup dan budaya masing-masing.

            Kelompok diaspora boleh dikenali melalui aktiviti-aktiviti serta amalan mereka dari segi budaya, bahasa, agama, sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain lagi. Ini kerana individu-individu diaspora biasanya gemar melakukan aktiviti bersama yang membolehkan mereka dikenali atau tergolong dalam sesebuah komuniti diaspora. Walaubagaimanapun, sesetengah diaspora hanya terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang melibatkan rakan sekampung atau keluarga sahaja. Manakala yang lain menumpukan kepada hal-hal seperti kegiatan keagamaan, pendidikan dan ekonomi (Hanafi Husin 2008).

Konsep diaspora juga turut dikaitkan dengan pembentukan negara bangsa. Ini dapat dilihat di sesetengah negara seperti Indonesia yang berjaya mewujudkan negara bangsa walaupun menerima kesan daripada diaspora. Konsep diaspora kini mempunyai makna yang lebih luas kini. Ini kerana ianya tidak hanya merujuk kepada sesuatu kelompok kaum sahaja malah maknanya lebih daripada itu.